
Antologi Mis3 Rasa mengandungi 30 buah puisi yang kesemuanya merupakan perkongsian misteri rasa Noor Hasnah Adam yang diluahkannya dalam bentuk puisi. Melalui antologi puisi ini, dengan hati yang ikhlas, beliau mengharapkan agar puisi-puisi itu dibaca, dihayati, dideklamasikan dan dinikmati bersama.
Sebagai seorang wanita, sudah tentunya puisi-puisi dalam Mis3 Rasa ini banyak menyentuh jiwa saya yang kebanyakannya begitu dekat dengan hati saya. Sebagai contoh, melalui puisi "Sentuhan Ibu", Noor Hasnah Adam amat menghargai pengorbanan dan keprihatinan wanita yang bernama ibu yang tidaak pernah jemu mendampingi gadis-gadis yang "diulit emosi": berduka nestapa, marah membara, hilang pegangan dan haluan. "Ibu" membimbing "bersama kasih mesra" serta kuntuman senyuman sebagai "pedoman". Justeru, hati nurani Noor Hasnah Adam amat terkesan dengan "Sentuhan Ibu" ini lantas terbentuklah sikap tegar dan tangkas mencantas ranjau berduri di sepanjang laluan hidup wanita hari ini. Beliau tidak rela dan tega melihat wanita diperlekeh dengan sewenang-wenang, lantas dengan tegas, tegar dan lantang menyeru mereka agaar berani meluahkan "suara-suara terpendam" dengan apa jua cara yang terupaya:
Kekentalan semangat juangnya, kekharsanian tulang, urat dan dagingnya, ternyata beliau bukanlah seorang wanita lemah yang mudah diperlekeh dengan sewenang-wenang; bukan srikandi "yang tinggi gelepur rendah laga" sebaliknya "tinggi gelepur dan tinggi juga daya laganya". Noor Hasnah Adam bukanlah pejuang yang rapuh, mudah berpatah arah, namun beliau gigih menghadapi cabaran; terjangan gelombang kehidupan dengan bekalan: "patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertekelan".
Bagi Noor Hasnah Adam:
"keberanian yang berani itu hak dan maruah..."
"...wanita dan maruah itu mempunyai keberanian."
Noor Hasnah Adam bukan sahaja mahu menjadi serikandi seni yaang berani dalam memperjuangkan maruah wanita sebagai ibu atau guru bahkan
"...mahu jadi kuat, lebih kuat daripada laki-laki"
sebagaimana yang terungkap dalam "Citra Perempuan". Menurut beliau juga
"...tak mahu jadi perempuan...
...bergantung pada tradisi lingkaran perangkap lelaki"
Beliau tidak mahu jadi Zubaidah:
"keluar dari perangkap laki-laki
masuk semula menyerah diri".
Atau jadi Fatimah:
"Menjerit minta dilepaskan...
tetapi rela dibiarkan...
dalam kongkongan..."
Atau jadi Teja:
"Hanya pelengkap nafsu laki-laki"
"Atau simpati pada Salina...
terjun ke lubuk kehancuran".
Azam Noor Hasnah Adam:
"Aku tak mahu di pinggiran
watak pembantu pada laki-laki
kerana perempuan adalah ibu laki-laki
ibu pada kuasa penguasa".
Dia sedar bahawa:
"Di sebalik kejayaan perempuan
ada bayangan kecundangan laki-laki".




nya bahawa kaum wanita harus melihat diri mereka sendiri menjadi makhluk yang berani, tidak mudah tunduk kepada cabaran yang menggugat kedudukannya dalam masyarakat. Perjuangan dan sikap Noor Hasnah Adam yang dipaparkan dalam puisi ini bukanlah bererti bahawa beliau anti lelaki atau tidak menghargai dan menghormati kaum lelaki, tetapi bagi aku mungkin beliau sekadar ingin memberi kesedaran kepada kaum wanita agar tidak menjadi makhluk yang lemah, berani menghadapi terjangan gelombang kehidupan tanpa terlalu bersandar sepenuhnya kepada kaum lelaki. Kaum wanita juga perlu berupaya berdikari dan mandiri dalam kehidupan yang penuh cabaran dewasa ini.



