Sunday, September 28, 2008

Puisi "Keberanian Itu, Wanita"

KEBERANIAN ITU, WANITA

Keberanian bukan hanya pada pahlawan..

bukan hanya para srikandi..

Keberanian bukan terletak pada banyaknya musuh

dapat dibunuh..

Atau berani bertarung siapa jaguh..

Keberanian bagiku berakar sendi

Dalam pembuluh darah dala urat dalam diri

Keberanian bagiku berani menghadapi apa yang

mendatang

Keberanian bagiku adalah ketabahan menantang

Keberanian bagiku bukan untuk minta dijulang

Diagung dijunjung dibelek dikelek

Keberanian bagiku adalah wanita

Wanita bagiku adalah keberanian

Dan keberanian itu perlu benar benar berani

kerana keberanian yang berani itu hak dan maruah

Dan wanita dan maruah itu berhak mempunyai

keberanian..

Mis3


Membaca dan meneliti puisi-puisi dalam buku “Antologi Puisi Mis3 Rasa”, karya Noor Hasnah Adam, seorang penulis wanita, pelukis karikatur dan guru yang cergas dan gigih, menguja seseorang membuat kesimpulan tentang pandangan, sikap dan perjuangan Noor Hasnah Adam agar kaum wanita tidak lemah, tidak diperlekeh dengan sewenang-wenangnya tanpa bertindak mempertahankan maruah dan harga diri wanita.

Tajuk puisi itu telah menarik perhatianku untuk terus membaca dan memahami makna di sebalik puisi tersebut. Sebagai seorang wanita, aku setuju dengan pandangannya bahawa kaum wanita harus melihat diri mereka sendiri menjadi makhluk yang berani, tidak mudah tunduk kepada cabaran yang menggugat kedudukannya dalam masyarakat. Perjuangan dan sikap Noor Hasnah Adam yang dipaparkan dalam puisi ini bukanlah bererti bahawa beliau anti lelaki atau tidak menghargai dan menghormati kaum lelaki, tetapi bagi aku mungkin beliau sekadar ingin memberi kesedaran kepada kaum wanita agar tidak menjadi makhluk yang lemah, berani menghadapi terjangan gelombang kehidupan tanpa terlalu bersandar sepenuhnya kepada kaum lelaki. Kaum wanita juga perlu berupaya berdikari dan mandiri dalam kehidupan yang penuh cabaran dewasa ini.

No comments: