Saturday, September 20, 2008

Pencarian dalam Feminisme


Feminisme bukanlah perkara baru dalam dunia sastera. Fahaman feminisme mula timbul di Barat sejak abad ke-18. Kemunculan buku yang bertajuk Vindication of the Rights of Woman, yang diterbitkan pada tahun 1789 nukilan Mary Woll-stonecraft, telah menjulang namanya sebagai ahli teori feminis British yang pertama. Desakan perjuangan fahaman feminis di Barat didorong oleh hasrat ingin mendapatkan hak yang sama rata antara lelaki dengan wanita.


Isu menuntut persamaan hak akibat daaripada diskriminasi jantina ini telah wujud sejak zaman jahiliah lagi dan setelah datangnya Islam, isu ini cuba diatasi dengan berpandukan al-Quran dan hadis. Di Barat, fahaman feminisme berkembang dalam dua gelombang. Gelombang pertama, fahaman yang agak lembut dan menekankan persoalan persamaan hak antara lelaki dengan wanita. Gelombang kedua, fahaman feminisme yang lebih radikal yang lebih mementingkan kedudukan wanita dan ke arah peperangan gender.


Jika dinilai dari segi amalan budaya, agama dan kehidupan social masyarakat kita, adakah feminisme antara dua gelombang di Barat itu sesuai untuk diserapkan dalam pemikiran masyarakat kita melalui karya pengarang di negara kita? Pengkaji sastera di sini masih tidak jemu-jemu mencari-cari gaya feminisme acuan sendiri yang serasi dengan masyarakat kita yang berbilang kaum dan pelbagai agama, tetapi masih mengekalkan gaya hidup orang Timur yang penuh dengan kesantunan.


Selain itu, fahaman feminisme kini berkembang kearah teori kritikan dan penilaian terhadap karya hingga terhasilnya ginokritikan yang diperkenalkan oleh Elaine Showalter. Pendekatan ini berusaha mengkaji karya pengarang wanita meliputi sejarah, gaya, tema, genre dan struktur karya penulis wanita. Hasil daripada kajian demi kajian, maka wujudlah pelbagai dapatan baharu tentang karya penulis wanita. Antara yang menarik termasuklah percanggahan pendapat yang mengatakan bahawa hanya penulis wanita yang berkemampuan menulis tentang nasib suka duka kehidupan wanita. Sebaliknya penulis lelaki hanya ketara sebagai pengarang yang menghitamkan watak wanita ciptaannya, menjadikan wanita hanya sebagai mangsa yang ditindas oleh kaum lelaki.

No comments: