Friday, October 10, 2008

Pepatah Melayu..."Menegakkan Benang Basah"

Pepatah Melayu “Menegakkan Benang Basah” dari pespektif seorang peguam bela...
(Makna: Mencuba menegakkan sesuatu yang mustahil)

Perkataan “peguam bela” itu sendiri membawa maksud peguam yang membela kliennya dalam mahkamah undang-undang atau juga dikenali sebagai advokat. Sebagai seorang peguam bela peranan saya sememangnya untuk memastikan bahawa klien saya bebas dari sebarang tuduhan dan tidak melanggar undang-undang. Sekiranya klien saya didapati bersalah, saya tetap harus memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan dapat diringankan.

Sebagai seorang peguam bela, saya tidak begitu setuju dengan pepatah “menegakkan benang basah”. Walaupun sudah menjadi tanggungjawab saya mempertahankan atau menegakkan kebenaran mana-mana pihak sama ada si mangsa, tertuduh atau yang dituduh, saya berpendirian bahawa saya harus membela pihak yang benar dan tidak bersalah agar dia tidak dipengaruhi atau ditindas oleh pihak yang sengaja ingin menjatuhkannya. Memang patut bagi seorang peguam bela menegakkan keadilan dengan membentangkan hujah-hujah bagi membela nasib si mangsa atau tertuduh agar keadilan dapat dilaksanakan di mana sesuatu yang baik mendapat ganjaran manakala yang bersalah pula mendapat balasan yang setimpal. Seperti pepatah “berani kerana benar, takut kerana salah” sudah menjadi hak orang yang benar agar mendapat ganjaran yang setimpal dan diadili dengan sewajarnya dan tidak dianiaya oleh mana-mana pihak yang lebih berkuasa.

Sesiapa sahaja yang bersalah walau bagaimana cara pun, dia tetap patut dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. “Menegakkan benang yang basah” tidak akan mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak. Si pesalah itu tentu tidak akan rasa serik dan mempelajari dari kesalahannya atau bertaubat jika dia tidak dihukum dengan sewajarnya. Adakah patut seseorang yang bersalah diberi pertolongan padahal orang yang dianiaya atau si mangsalah yang patut mendapat bantuan. Saya tidak akan ragu-ragu untuk menolak permintaan klien yang telah melakukan pembunuhan atau merogol kerana perbuatan yang salah atau haram memang harus dihukum. Sebagai seorang Islam, saya tidak mahu bersubahat dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dunia dan agama kerana ia bertentangan dengan akidah saya. Di akhirat nanti sudah pasti saya akan disoal tentang amalan dan tanggungjawab saya semasa menjalankan tugas sebagai peguam bela yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk membela nasib orang-orang yang tertuduh atau mangsa agar mereka yang benar diadili dengan sewajarnya dan membasmi sebarang penindasan.

No comments: