Friday, October 17, 2008

Adakah kita bersedia untuk lahirkan penulis kanak-kanak?

Minat terhadap seni dan sastera wajar dipupuk sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Penyemaian minat pada seni dan sastera boleh diterapkan kepada kanak-kanak melalui kegiatan-kegiatan seperti tabiat bercerita sebelum waktu tidur, dalam nyanyian atau dodoian ketika menidurkan anak dan tidak kurang juga hasil daripada tabiat minat membaca atau minat melukis kanak-kanak itu sendiri. Maka, seni dan sastera untuk kanak-kanak menjadi amat penting sebagai salah satu keperluan dalam membentuk minda dan keperibadiaan insan, selain daripada memupuk bakat mereka.

Penghasilan sastera kanak-kanak pula boleh terbentuk daripada dua keadaan:
1) sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh penulis dewasa yang menulis tentang kisah atau permasalahan dalam dunia kanak-kanak, dan
2) karya sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh kanak itu sendiri.

Antara dua keadaan ini yang manakah yang lebih menarik dan berkesan?
Pada pandangan saya, karya yang dihasilkan oleh kanak-kanak sendiri adalah lebih mengesankan kerana sudah tentunya tulisan itu lahir daripada naluri dan isi hati mereka yang datang daripada harapan dan tanggapan mereka sebagai kanak-kanak. Sebaliknya, karya sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh orang dewasa pula lebih berbentuk didaktik dan membentuk moral.

Sebagai contoh, Peraduan Penulisan Kreatif yang dikelolakan oleh Persatuan Bahasa Melayu Institusi Raffles banyak memberi peluang kepada murid-murid darjah 5 & 6 untuk mencipta karya kreatif mereka. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan peraduan penulisan kreatif yang dianjurkan juga berjaya menghasilkan banyak penulis baru yang terdiri daripada kanak-kanak. Selain daripada itu, badan swasta seperti EDN Media Pte Ltd juga sering menganjurkan Peraduan Karya Minda Kreatif di kalangan murid-murid darjah 5 & 6 juga yang mana 30 penyertaan atau hasil karya yang terbaik akan dibukukan. Ini merupakan suatu pengiktirafan kepada murid-murid yang terlibat dan semestinya ia akan menggalakkan murid-murid yang lain untuk meningkatkan lagi mutu penulisan mereka.


Sesungguhnya, sastera kanka-kanak yang sepatutnya menjanjikan permintaan yang tinggi kerana peratusan jumlah penduduk yang tertinggi ialah kanak-kanak. Justeru, kesungguhan memberikan tumpuan pada penghasilan seni atau sastera kanak-kanak sudah tentu akan menjanjikan permintaan yang tinggi jika mencapai citarasa dan kehendak mereka.

No comments: