Sewaktu di sekolah rendah lagi, aku gemar membaca buku. Semuanya buku cerita Inggeris. Buku-buku itu masih lagi dalam simpananku. Walaupun aku ada bebarapa buah cerita Melayu dalam koleksiku namun aku tidak pernah habis membacanya. Lagipun, buku-buku itu dihadiahkan ketika aku mendapat tempat pertama dalam peperiksaan bahasa Melayu semasa di sekolah rendah.

Berlainan pula semasa di sekolah menengah, walaupun aku tidak pernah memenangi sebarang hadiah berbentuk buku cerita Melayu, namun kami dikehendaki melanggani majalah Dewan Pelajar agar sentiasa didedahkan dengan bahan-bahan bacaan bahasa Melayu. Aku berterima kasih kepada Cikgu S kerana telah memaksa kami membuat ulasan buku setiap penggal semasa di menengah 3. Walaupun ia merupakan suatu penyeksaan, setidak-tidaknya sehingga kini aku masih ingat lagi judul buku-bukul tersebut.... “Salah Asohan”, “Menuju Jalan Ke Kubur”, “Di Bawah Lindungan Kaabah” dan “Tenggelamnya Kapal Van Der Vick”. Cikgu S tidak teragak-agak untuk mendenda anak muridnya sekiranya kami tidak menyiapkan tugasan yang diberinya. Masih segar di ingatanku ketika Cikgu S mencampak "duster", kapur serta manarik rambut kami atas kesalahan-kesalahan kecil. Tak dapat aku bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya aku lakukan perkara yang sama terhadap murid-muridku sekarang ini. Mungkin sudah lama aku disuruh meninggalkan kerjaya guru ini. Walau bagaimanapun, aku rasa untuk memupuk minat di kalangan murid-murid untuk membaca buku cerita Melayu tidak semudah itu.
Aku tidak pernah mengajar di sekolah menengah tapi aku rasa memupuk minat membaca haruslah bermula dari usia yang muda. Di sekolah tempat aku mengajar dulu, terdapat juga sebilangan murid darjah satu yang tidak boleh membaca. Bukan itu saja, terdapat juga seorang dua murid yang masih tidak boleh membaca dalam darjah enam dan tentu sekali murid ini di aliran EM3. Justeru, program bacaan di sekolah dan guru-guru Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting bagi merangsang murid untuk membaca buku cerita Melayu. Semasa menerajui jabatan bahasa Melayu sekolahku sebagai Ketua Subjek selama 10 tahun, berbagai-bagai kegiatan yang telah kami jalankan. Antaranya ialah meminjam buku secara “bulk” dari perpustakaan sekolah yang kemudiannya dipinjamkan kepada murid-murid di dalam kelas, memberi sijil dan lencana "ulat buku" kepada murid yang membaca jumlah buku yang ditetapkan setiap penggal, menganjurkan peraduan-peraduan seperti mereka penanda buku, kulit buku dan membuat topeng mengenai watak cerita-cerita Melayu sedikit sebanyak telah meningkatkan kesedaran dan minat murid untuk membaca buku cerita Melayu. Tugasan membuat e-buku untuk murid-murid Darjah 6 membuahkan hasil kerana karya-karya yang dihasilkan begitu menunjukkan kreativiti mereka dan telah dimuatnaikkan ke dalam “Learning Management Support (LMS)” untuk dikongsi bersama murid-murid lain. Karya tulisan yang baik pula telah dibukukan dan setiap murid diberi senaskhah setiap seorang demi untuk merangsang mereka mengarang dengan lebih baik dan kreatif lagi serta membaca karya-karya murid-murid yang lain. Program Rakan Membaca (Buddy Reading) dan “Reading Mum” juga telah membantu murid-murid yang lemah membaca meningkatkan lagi kemahiran bacaan mereka.
Ternyata sekali minat membaca tidak mudah dipupuk sekiranya seseorang murid itu diberi pilihan, lebih-lebih lagi membaca buku cerita atau novel Melayu. Bagi para remaja pula, jenis novel yang dibaca juga perlu diambil kira. Adakah kita mahu murid sekadar minat membaca atau murid itu sendiri perlu didedahkan dan membaca novel serius berbanding dengan novel picisan yang mana latar belakang pengarangnya masih dipersoalkan? Oleh kerana remaja tidak begitu gemar membaca novel atau karya Melayu, bagaimana pula dapat kita galakkan murid membaca novel serius? Kalau tidak kerana peperiksaan, tentu remaja itu akan membaca serta memahami sesebuah novel serius agar dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan. Tidak dinafikan, itulah yang saya lakukan pada zaman remaja saya. Sebaliknya, sekarang ini apabila saya dikehendaki membaca novel serius juga untuk hal-hal penilaian dan peperiksaan, saya rasa lebih selesa dan seronok membaca novel tersebut seperti kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta.”
No comments:
Post a Comment