
Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, maka tiada batasan untuk berkomunikasi dan memperoleh maklumat. Apa-apa sahaja dapat kita peroleh secara mudah dan pantas daripada sumber teknologi yang begitu canggih sekali. Hal ini semestinya telah membawa kebaikan dan manfaat kepada kita; dari satu segi yang lain, hal ini adakalanya boleh mendatangkan implikasi yang negatif kepada masyarakat jika disalahgunakan. Jelas bahawa yang dapat menentukan ketahanan integriti dan jati diri masyarakat ialah nilai dan moral masyarakat itu sendiri.
Dalam hal ini, sastera memainkan peranan yang amat besar dan penting. Melalui sastera, masyarakat terdidik dengan nilai yang murni yang secara beransur-ansur dapat membina sahsiah dan nilai budi individu dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, berdasarkan senario masa kini, kita tercari-cari sama ada masih ada ruang atau tidak untuk sastera bernafas dan seterusnya mencari khalayak.
Kehidupan hari ini tampak berpaksikan materialisme dan hedonisme. Kebanyakan remaja kita memperlihatkan kecenderungan yang berlebihan terhadap hiburan. Mereka kurang memberikan perhatian terhadap karya sastera bermutu tinggi yang terdapat dalam pasaran. Karya sastera hanya menjadi tatapan sekelompok kecil remaja kita.
Justeru, semua pihak perlu berasa gusar dengan perkembangan negatif ini. Tidak kira ibu bapa, guru mahupun pemimpin masyarakat, masing-masing perlu memberikan perhatian terhadap fenomena ini. Sebagai contoh, ASAS 50 yang merupakan agensi bagi memperkembangkan bahasa dan sastera Melayu gigih menyemaikan dan menyemarakkan peranan sastera dalam kalangan masyarakat.
Selain mengembalikan semula minat remaja terhadap kesusasteraan, lebih-lebih lagi terhadap remaja era siber kini, mungkin pihak swasta juga dapat melibatkan diri dalam usaha mengiktiraf kesusasteraan remaja, contohnya memberikan hadiah yang khusus untuk menghargai keupayaan berkarya mereka. Inilah masa yang paling baik untuk membina sasterawan pelapis bagi menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan kerana buluh harus dilentur ketika masih rebung. Dengan adanya usaha-usaha sebegitu, diharapkan agar sastera dapat berkembang seiring dengan perkembangan era globalisasi.
No comments:
Post a Comment