Friday, October 3, 2008

Sastera Siber menarik minat pembaca ...

Semasa aku sedang sibuk membersihkan rumah bagi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri, aku sempat membelek-belek majalah Dewan Sastera yang mana salah satu topik yang dibincangkan ialah “KaryaNet dan Sastera Siber. Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi berubah dengan begitu pantas sekali sehinggakan perubahan teknologi ini telah membawa impak kepada perubahan budaya atau cara hidup kita. Kemaraan dunia internet ini memang nyata menjadi landasan kepada perubahan cara hidup yang mendadak ini.

Bagi pihak penulis pula, kepuasan penulis kini juga telah berubah. Sebelumnya, seseorang penulis akan berasa seronok apabila melihat keryanya diterbitkan dalam bentuk buku yang mana buku itu boleh dipegang dan diselak halaman demi halaman tetapi kini, penulis akan rasa lebih seronok apabila melihat karya mereka tersiar di Internet atau laman web. Bukan itu sahaja, karya tersebut juga akan tersebar ke seluruh pelosok dunia di mana ia boleh dimasuki dan dicapai oleh sesiapa sahaja. Teks dan grafik yang beranimasi dan bersifat interaktif, lengkap dengan muzik untuk e-buku, contohnya buku cerita kanak-kanak, menjadikan karya itu lebih seronok untuk dibaca.
Ini mengingatkan aku tentang sebuah kursus yang aku hadiri di NIE tiga tahun yang lalu. Kursus itu bertujuan untuk melatih guru-guru Bahasa Melayu bagaimana untuk menghasilkan buku cerita yang sesuai untuk murid-murid primary rendah. Kursus yang berjalan selama tiga hari semasa cuti sekolah itu, juga merangkumi sesi “hands-on” di mana guru-guru bekerja secara kumpulan yang kecil untuk menghasilkan sebuah buku. Aku telah melakarkan sebuah cerita yang melatarbelakangkan kisah seekor labah-labah yang tidak puas dan bersyukur dengan dirinya yang dilahirkan sebagai labah-labah. Tajuknya ialah “Lulu Si Labah-labah”. Apa yang membuatku rasa seronok kemudiannya ialah apabila mendapat tahu bahawa cerita tersebut telah dipilih untuk dijadikan e-buku oleh pihak NIE. Walaupun cerita asal dan ilustrasi buku itu telah diubahsuai (kini bertajuk “Anbut Si Labah-labah), namun aku rasa seperti satu kepuasan dan keseronokan apabila melihat namaku terpampang dalam e-buku yang dihasilkan. Walaupun usaha ini tidaklah sehebat penulis-penulis yang terkenal, namun ini mungkin akan aku jadikan titik permulaan untuk menghasilkan cerita kanak-kanak. Apakan daya, sehingga kini impian itu belum tercapai kerana masa tidak mengizinkan…. masakan tidak, sebelum ini aku terpaksa membahagikan masa dengan kerja-kerja di sekolah yang tak habis-habis serta menguruskan 3 bujangku di rumah. Mungkin, sewaktu cuti penggal yang panjang selepas Semester 2 nanti dapat aku usahakan impian ini ….. Insyaallah!
Aku percaya kehadiran penerbitan karya dalam bentuk maya atau siber ini akan memberangsangkan lagi minat membaca generasi masa kini.

No comments: