Hari pertama aku menghadiri kuliah yang bermula pada jam 8.30 pagi amat aku nant-nantikan. Maklumlah sudah 16 tahun aku tinggalkan bangku sekolah, waktu itu di kampus NIE, Bukit Timah. Walau bagaimanapun, aku masih teringat tugas-tugas yang aku tinggalkan di sekolah. Masih ada lagi satu projek yang belum aku lunaskan iaitu pembentangan di Mesyuarat Badan Kelompok (Cluster Board Meeting) yang dihadiri oleh superintendent, pengetua dan naib pengetua mengenai lawatan guru-guru kelompok W2 ke Brunei Darussalam semasa bulan Jun lepas. Stres juga aku dibuatnya tapi apakan daya sudah jadi tanggungjawabku untuk menutup bab buku yang telah aku pelopori semenjak awal tahun ini.
Berbalik pada hari pertama aku di kelas Dr Razif, kami diperkenalkan dengan topik kematian. Bukan itu saja, kami disuruh pula menyiapkan eulogi tentang diri masing-masing. Hai.... bab ini yang selalu buat aku menitiskan airmata seperti Neng Yatimah, seorang pelakon veteran yang terkenal dengan watak-wataknya yang cengeng. Manakan tidak, insan yang paling dekat dengan jiwanya, ibuku, telah kembali ke Rahmatullah enam tahun yang lalu. Pada tahun ini pula, nenekku yang menjagaku semasa aku kecil juga telah meninggalkanku buat selama-lamanya. Hari itu merupakan hari yang bersejarah kerana ia jatuh pada hari lahir anak ketigaku yang baru berumur dua tahun. Sejurus selepas pengkebumian jenazah nenekku, aku terpaksa bergegas ke MOE untuk ditemuduga bagi mendapatkan Anugerah Bahasa Ibunda (Mother Tongue Language Award). Alhamdulillah... berkat dugaan yang aku tempuhi, aku berjaya mendapat anugerah itu. Ini bagaikan suatu bonus bagiku kerana soal kewangan bagi pengajianku diongkos semuanya oleh pihak MOE. Alhamdulillah sekali lagi.
Semasa mencari idea untuk melakarkan eulogi mengenai diriku sendiri, aku mendapat idea. Aku membayangkan anak sulungku yang akan membaca eulogi tersebut pada hari kematianku nanti. Oh tidak..... Dr Razif memanggil namaku untuk membaca eulogi tersebut. Sejurus saja aku membacanya, air mataku mula berlinang. Entah kenapa aku tidak dapat menahannya. Aku tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya diri ini ditakdirkan menyahut seruan Illahi pergi buat selama-lamanya. Baru beberapa hari yang lalu, aku dan seorang guru di sekolahku berbual-bual tentang topik kematian ini. Kami menanyakan diri masing-masing bagaimana agaknya kehidupan seharian suami dan anak-anak kami nanti sekiranya kami ditakdirkan pergi dahulu. Aku dan kawanku tidak ada pembantu rumah untuk menolong menguruskan hal-hal di rumah seperti mana kebanyakan guru-guru seperjuangan kami di sekolah yang memerlukan khidmat pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah dan penjagaan anak-anak mereka. Aku dan kawanku terpaksalah meluangkan masa untuk melakukan kerja-kerja rumah walaupun dibantu suami. Apa yang menyedihkan ketika itu ialah kawanku disyaki mengalami ketumbuhan di rahimnya dan itulah yang sering membuatnya tertanya-tanya apa yang akan berlaku sekiranya dia pergi. 

Selepas membacakan eulogi tersebut di depan rakan-rakan sekelasku, aku bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah selama ini. Bukanlah aku tidak pernah bersyukur sebelum ini. Namun, oleh kerana tumpuan aku berbeza kini, selain dari menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak yang semakin membesar, aku harus bijak membahagi-bahagikan masa dengan bijak demi untuk menggenggam segulung ijazah. Moga berkat doa orang-orang yang ku sayangi, insyaallah impianku terlaksana jua.
No comments:
Post a Comment