Wednesday, October 29, 2008

Antologi Puisi ... Mis3 RASA


Antologi Mis3 Rasa mengandungi 30 buah puisi yang kesemuanya merupakan perkongsian misteri rasa Noor Hasnah Adam yang diluahkannya dalam bentuk puisi. Melalui antologi puisi ini, dengan hati yang ikhlas, beliau mengharapkan agar puisi-puisi itu dibaca, dihayati, dideklamasikan dan dinikmati bersama.

Sebagai seorang wanita, sudah tentunya puisi-puisi dalam Mis3 Rasa ini banyak menyentuh jiwa saya yang kebanyakannya begitu dekat dengan hati saya. Sebagai contoh, melalui puisi "Sentuhan Ibu", Noor Hasnah Adam amat menghargai pengorbanan dan keprihatinan wanita yang bernama ibu yang tidaak pernah jemu mendampingi gadis-gadis yang "diulit emosi": berduka nestapa, marah membara, hilang pegangan dan haluan. "Ibu" membimbing "bersama kasih mesra" serta kuntuman senyuman sebagai "pedoman". Justeru, hati nurani Noor Hasnah Adam amat terkesan dengan "Sentuhan Ibu" ini lantas terbentuklah sikap tegar dan tangkas mencantas ranjau berduri di sepanjang laluan hidup wanita hari ini. Beliau tidak rela dan tega melihat wanita diperlekeh dengan sewenang-wenang, lantas dengan tegas, tegar dan lantang menyeru mereka agaar berani meluahkan "suara-suara terpendam" dengan apa jua cara yang terupaya:
suara perut
suara usus
suara otak
suara saraf

Kekentalan semangat juangnya, kekharsanian tulang, urat dan dagingnya, ternyata beliau bukanlah seorang wanita lemah yang mudah diperlekeh dengan sewenang-wenang; bukan srikandi "yang tinggi gelepur rendah laga" sebaliknya "tinggi gelepur dan tinggi juga daya laganya". Noor Hasnah Adam bukanlah pejuang yang rapuh, mudah berpatah arah, namun beliau gigih menghadapi cabaran; terjangan gelombang kehidupan dengan bekalan: "patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertekelan".

Bagi Noor Hasnah Adam:

"keberanian yang berani itu hak dan maruah..."

"...wanita dan maruah itu mempunyai keberanian."

Noor Hasnah Adam bukan sahaja mahu menjadi serikandi seni yaang berani dalam memperjuangkan maruah wanita sebagai ibu atau guru bahkan

"...mahu jadi kuat, lebih kuat daripada laki-laki"

sebagaimana yang terungkap dalam "Citra Perempuan". Menurut beliau juga

"...tak mahu jadi perempuan...

...bergantung pada tradisi lingkaran perangkap lelaki"

Beliau tidak mahu jadi Zubaidah:

"keluar dari perangkap laki-laki

masuk semula menyerah diri".

Atau jadi Fatimah:

"Menjerit minta dilepaskan...

tetapi rela dibiarkan...

dalam kongkongan..."

Atau jadi Teja:

"Hanya pelengkap nafsu laki-laki"

"Atau simpati pada Salina...

terjun ke lubuk kehancuran".

Azam Noor Hasnah Adam:

"Aku tak mahu di pinggiran

watak pembantu pada laki-laki

kerana perempuan adalah ibu laki-laki

ibu pada kuasa penguasa".

Dia sedar bahawa:

"Di sebalik kejayaan perempuan

ada bayangan kecundangan laki-laki".

Saturday, October 25, 2008

Warkah Kepada Penulis ...


Ke hadapan Encik Ismail Kassan,
Saya merupakan seorang mahasiswa tahun kedua bagi pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Institut Pendidikan Nasional, Singapura. Untuk satu tugasan yang baru selesai, saya telah membuat suatu kajian mengenai novel anda, Restu. Walaupun usia saya sudah melewati peringkat remaja, namun setelah membaca novel Restu, hati saya begitu dekat sekali dengan watak Ikram yang merupakan watak utamanya. Hati saya begitu tersentuh sekali apabila terkenangkan kecekalan dan kegigihan Ikram dalam melayari kehidupan remajanya yang penuh pancaroba, lebih-lebih lagi apabila mengajar di sekolah menengah nanti di mana saya bakal berurusan dengan pelajar-pelajar remaja dan yang paling ketara sekali ialah saya merupakan ibu kepada seorang anak lelaki remaja. Saya sangat-sangat mengharapkan agar dapat menyemai sikap atau personaliti Ikram yang berpegang teguh pada wawasan yang disemai dalam mengharungi kehidupannya yang sukar dan menjadikannya sebagai contoh kepada anak-anak didik serta anak saya sendiri.

Bagi saya, watak Ikram merupakan nadi bagi novel ini. Wawasan yang disemai dalam diri Ikram telah menjadi tunggak bagi dirinya untuk mencapai cita-citanya. Justeru itu, adalah penting bagi para remaja mempunyai wawasan bagi mendorong mereka mencapai cita-cita. Remaja yang tidak berwawasan akan mudah terpengaruh dan akhirnya melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Kepentingan masa juga harus dijaga agar masa-masa yang terluang diisi dengan kerjaa-kerja yang berfaedah.

Sebagai seorang yang telah melalui dan merasai asam garam zaman remaja, selain mempunyai wawasan dan disiplin tinggi, seseorang remaja juga harus berani menghadapi cabaran dan tidak harus lari dari masalah. Amat penting bagi setiap remaja untuk tidak mudah berputus asa tetapi sebaliknya berupaya mencari idea dan jalan baru untuk menangani keadaan-keadaan yang getir. Yang lebih merunsingkan ialah masalah-masalah social remaja haari ini lebih berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan zaman ibu dan bapa mereka.

Sememangnya terdapat banyak nilai moral yang boleh digarap dari pembacaan dan penghayatan novel ini. Novel ini telah memberikan kesan nilai moral yang agak mendalam dan lebih tepat kepada remaja yang membaca novel ini. Yang ditekankan di sini adalah nilai dan prinsip di sebalik setiap tindak-tanduk seseorang itu. Untuk membangkitkan nilai-nilai positif di kalangan remaja, novel ini juga telah member i perhatian pada aspek “berusaha tangga kejayaan”. Saya percaya bahawa usaha sahaja tanpa mempunyai wawasan tidak akan mendatangkan hasil yang lumayan dan sebaliknya, berwawasan tanpa usaha adalah suatu impian semata. Dengan berwawasan hidup remaja tentu akan lebih tersusun dan sistematik. Mereka tentu dapat mengetahui matlamat yang ingin dicapai dan akan berusaha untuk mencapainya tetapi dengan cara yang betul. Wawasan selain diiringi usaha harus juga disulami dengan dedikasi dan komitmen. Dengan ciri-ciri inilah maka akan laahirlah remaja-remaja yang berfikiran terbuka dan bervisi.

Selain menyemai nilai positif terhadap diri sendiri, remaja juga harus ada disiplin dan mempunyai prinsip hidup yang teguh. Prinsip ibarat penyuluh hidup (guiding principle). Perlu juga bagi seseorang remaja itu berpegang teguh pada prinsipnya agar tidak melanggar etika kehidupan. Melalui pengalaman Ikram, sebelum seseorang remaja itu memegang suatu prinsip, dia haruslah mempertimbangkan prinsip itu.

Secara keseluruhan, novel ini telah berjaya membawa remaja-remaja memikirkan nilai-nilai moral yang bersifat universal dan pengaruhnya terhadap kehidupan. Watak-watak yang diketengahkan memainkan peranan penting di dalam memberikan makna yanag mendalam terhadap setiap tindak tanduk yang terkait dengan nilai-nilai moral yang ingin disampaikan. Nilai-nilai seumpama ini perlu untuk pembangunan remaja akan dating kerana remaja hari ini adalah bayangan tamadun sesebuah Negara yang akan dating. Kekosongan jiwa dan rohani mereka tentang kemanusiaan haruslah ditangani dan langkah menyemai benih rohani dan emosi yang positif direalisasikan segera. Tugas ini haruslah dilaksanakan oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan termasuk anda sendiri yang telah memaparkannya dalam novel karya anda ini.

Secara jujur ingin saya nyatakan di sini bahawa karya anda ini merupakan sebuah karya novel yang baik. Anda juga telah berjaya memancing perasaan pembaca untuk turut sama merasakan apa yang dialami oleh Ikram melalui bahasa dan teknik penulisan anda yang begitu baik sekali. Karya anda ini juga kaya dengan nilai-nilai estetika yang membantu dalam pembinaan dan pengembangan sahsiah manusia.

Secara peribadi, membaca novel Restu ini telah meninggalkan kesan yang mendalam ke atas diri saya walaupun saya bukan seorang remaja lagi tetapi menyusuri kehidupan Ikram telah membangkitkan zaman keremajaan saya yang jauh berbeza dengan zaman yang dilalui oleh Ikram. Kehidupan di bandar walaupun tidak seberapa mewah yang diharapkan tetapi cukup untuk meneruskan hidup telah saya nikmati kehidupannya sebagai seorang remaja. Keperitan hidup Ikram telah membuka mata saya tentang kesusahan orang lain dan kehidupan yang penuh dugaan di sebuah kampung.

Nilai-nilai perikemanusiaan sangat teguh diterapkan sehinggakan saya akan memastikan anak-anak dan anak-anak didik saya tidak ketinggalan membaca novel ini walaupun keadaan sudah berubah dan mereka mungkin tidaak akan dapat membayangkan suasana desa itu sendiri tetapi apa yang ingin saya tonjolkan kepada mereka ialah nilai kehidupan yang tidak terkira harganya. Saya berharap agar anak-anak saya dan remaja-remaja lain akan dapat meraih manfaat dari pembacaan karya ini.

Yang benar,
Suriana Bte Mohamed Bakri


Thursday, October 23, 2008

Sahsiah Remaja dan Sastera


Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, maka tiada batasan untuk berkomunikasi dan memperoleh maklumat. Apa-apa sahaja dapat kita peroleh secara mudah dan pantas daripada sumber teknologi yang begitu canggih sekali. Hal ini semestinya telah membawa kebaikan dan manfaat kepada kita; dari satu segi yang lain, hal ini adakalanya boleh mendatangkan implikasi yang negatif kepada masyarakat jika disalahgunakan. Jelas bahawa yang dapat menentukan ketahanan integriti dan jati diri masyarakat ialah nilai dan moral masyarakat itu sendiri.
Dalam hal ini, sastera memainkan peranan yang amat besar dan penting. Melalui sastera, masyarakat terdidik dengan nilai yang murni yang secara beransur-ansur dapat membina sahsiah dan nilai budi individu dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, berdasarkan senario masa kini, kita tercari-cari sama ada masih ada ruang atau tidak untuk sastera bernafas dan seterusnya mencari khalayak.
Kehidupan hari ini tampak berpaksikan materialisme dan hedonisme. Kebanyakan remaja kita memperlihatkan kecenderungan yang berlebihan terhadap hiburan. Mereka kurang memberikan perhatian terhadap karya sastera bermutu tinggi yang terdapat dalam pasaran. Karya sastera hanya menjadi tatapan sekelompok kecil remaja kita.

Justeru, semua pihak perlu berasa gusar dengan perkembangan negatif ini. Tidak kira ibu bapa, guru mahupun pemimpin masyarakat, masing-masing perlu memberikan perhatian terhadap fenomena ini. Sebagai contoh, ASAS 50 yang merupakan agensi bagi memperkembangkan bahasa dan sastera Melayu gigih menyemaikan dan menyemarakkan peranan sastera dalam kalangan masyarakat.

Selain mengembalikan semula minat remaja terhadap kesusasteraan, lebih-lebih lagi terhadap remaja era siber kini, mungkin pihak swasta juga dapat melibatkan diri dalam usaha mengiktiraf kesusasteraan remaja, contohnya memberikan hadiah yang khusus untuk menghargai keupayaan berkarya mereka. Inilah masa yang paling baik untuk membina sasterawan pelapis bagi menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan kerana buluh harus dilentur ketika masih rebung. Dengan adanya usaha-usaha sebegitu, diharapkan agar sastera dapat berkembang seiring dengan perkembangan era globalisasi.

Friday, October 17, 2008

Adakah kita bersedia untuk lahirkan penulis kanak-kanak?

Minat terhadap seni dan sastera wajar dipupuk sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Penyemaian minat pada seni dan sastera boleh diterapkan kepada kanak-kanak melalui kegiatan-kegiatan seperti tabiat bercerita sebelum waktu tidur, dalam nyanyian atau dodoian ketika menidurkan anak dan tidak kurang juga hasil daripada tabiat minat membaca atau minat melukis kanak-kanak itu sendiri. Maka, seni dan sastera untuk kanak-kanak menjadi amat penting sebagai salah satu keperluan dalam membentuk minda dan keperibadiaan insan, selain daripada memupuk bakat mereka.

Penghasilan sastera kanak-kanak pula boleh terbentuk daripada dua keadaan:
1) sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh penulis dewasa yang menulis tentang kisah atau permasalahan dalam dunia kanak-kanak, dan
2) karya sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh kanak itu sendiri.

Antara dua keadaan ini yang manakah yang lebih menarik dan berkesan?
Pada pandangan saya, karya yang dihasilkan oleh kanak-kanak sendiri adalah lebih mengesankan kerana sudah tentunya tulisan itu lahir daripada naluri dan isi hati mereka yang datang daripada harapan dan tanggapan mereka sebagai kanak-kanak. Sebaliknya, karya sastera kanak-kanak yang dihasilkan oleh orang dewasa pula lebih berbentuk didaktik dan membentuk moral.

Sebagai contoh, Peraduan Penulisan Kreatif yang dikelolakan oleh Persatuan Bahasa Melayu Institusi Raffles banyak memberi peluang kepada murid-murid darjah 5 & 6 untuk mencipta karya kreatif mereka. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan peraduan penulisan kreatif yang dianjurkan juga berjaya menghasilkan banyak penulis baru yang terdiri daripada kanak-kanak. Selain daripada itu, badan swasta seperti EDN Media Pte Ltd juga sering menganjurkan Peraduan Karya Minda Kreatif di kalangan murid-murid darjah 5 & 6 juga yang mana 30 penyertaan atau hasil karya yang terbaik akan dibukukan. Ini merupakan suatu pengiktirafan kepada murid-murid yang terlibat dan semestinya ia akan menggalakkan murid-murid yang lain untuk meningkatkan lagi mutu penulisan mereka.


Sesungguhnya, sastera kanka-kanak yang sepatutnya menjanjikan permintaan yang tinggi kerana peratusan jumlah penduduk yang tertinggi ialah kanak-kanak. Justeru, kesungguhan memberikan tumpuan pada penghasilan seni atau sastera kanak-kanak sudah tentu akan menjanjikan permintaan yang tinggi jika mencapai citarasa dan kehendak mereka.

Friday, October 10, 2008

Pepatah Melayu..."Menegakkan Benang Basah"

Pepatah Melayu “Menegakkan Benang Basah” dari pespektif seorang peguam bela...
(Makna: Mencuba menegakkan sesuatu yang mustahil)

Perkataan “peguam bela” itu sendiri membawa maksud peguam yang membela kliennya dalam mahkamah undang-undang atau juga dikenali sebagai advokat. Sebagai seorang peguam bela peranan saya sememangnya untuk memastikan bahawa klien saya bebas dari sebarang tuduhan dan tidak melanggar undang-undang. Sekiranya klien saya didapati bersalah, saya tetap harus memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan dapat diringankan.

Sebagai seorang peguam bela, saya tidak begitu setuju dengan pepatah “menegakkan benang basah”. Walaupun sudah menjadi tanggungjawab saya mempertahankan atau menegakkan kebenaran mana-mana pihak sama ada si mangsa, tertuduh atau yang dituduh, saya berpendirian bahawa saya harus membela pihak yang benar dan tidak bersalah agar dia tidak dipengaruhi atau ditindas oleh pihak yang sengaja ingin menjatuhkannya. Memang patut bagi seorang peguam bela menegakkan keadilan dengan membentangkan hujah-hujah bagi membela nasib si mangsa atau tertuduh agar keadilan dapat dilaksanakan di mana sesuatu yang baik mendapat ganjaran manakala yang bersalah pula mendapat balasan yang setimpal. Seperti pepatah “berani kerana benar, takut kerana salah” sudah menjadi hak orang yang benar agar mendapat ganjaran yang setimpal dan diadili dengan sewajarnya dan tidak dianiaya oleh mana-mana pihak yang lebih berkuasa.

Sesiapa sahaja yang bersalah walau bagaimana cara pun, dia tetap patut dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. “Menegakkan benang yang basah” tidak akan mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak. Si pesalah itu tentu tidak akan rasa serik dan mempelajari dari kesalahannya atau bertaubat jika dia tidak dihukum dengan sewajarnya. Adakah patut seseorang yang bersalah diberi pertolongan padahal orang yang dianiaya atau si mangsalah yang patut mendapat bantuan. Saya tidak akan ragu-ragu untuk menolak permintaan klien yang telah melakukan pembunuhan atau merogol kerana perbuatan yang salah atau haram memang harus dihukum. Sebagai seorang Islam, saya tidak mahu bersubahat dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dunia dan agama kerana ia bertentangan dengan akidah saya. Di akhirat nanti sudah pasti saya akan disoal tentang amalan dan tanggungjawab saya semasa menjalankan tugas sebagai peguam bela yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk membela nasib orang-orang yang tertuduh atau mangsa agar mereka yang benar diadili dengan sewajarnya dan membasmi sebarang penindasan.

Friday, October 3, 2008

Sastera Siber menarik minat pembaca ...

Semasa aku sedang sibuk membersihkan rumah bagi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri, aku sempat membelek-belek majalah Dewan Sastera yang mana salah satu topik yang dibincangkan ialah “KaryaNet dan Sastera Siber. Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi berubah dengan begitu pantas sekali sehinggakan perubahan teknologi ini telah membawa impak kepada perubahan budaya atau cara hidup kita. Kemaraan dunia internet ini memang nyata menjadi landasan kepada perubahan cara hidup yang mendadak ini.

Bagi pihak penulis pula, kepuasan penulis kini juga telah berubah. Sebelumnya, seseorang penulis akan berasa seronok apabila melihat keryanya diterbitkan dalam bentuk buku yang mana buku itu boleh dipegang dan diselak halaman demi halaman tetapi kini, penulis akan rasa lebih seronok apabila melihat karya mereka tersiar di Internet atau laman web. Bukan itu sahaja, karya tersebut juga akan tersebar ke seluruh pelosok dunia di mana ia boleh dimasuki dan dicapai oleh sesiapa sahaja. Teks dan grafik yang beranimasi dan bersifat interaktif, lengkap dengan muzik untuk e-buku, contohnya buku cerita kanak-kanak, menjadikan karya itu lebih seronok untuk dibaca.
Ini mengingatkan aku tentang sebuah kursus yang aku hadiri di NIE tiga tahun yang lalu. Kursus itu bertujuan untuk melatih guru-guru Bahasa Melayu bagaimana untuk menghasilkan buku cerita yang sesuai untuk murid-murid primary rendah. Kursus yang berjalan selama tiga hari semasa cuti sekolah itu, juga merangkumi sesi “hands-on” di mana guru-guru bekerja secara kumpulan yang kecil untuk menghasilkan sebuah buku. Aku telah melakarkan sebuah cerita yang melatarbelakangkan kisah seekor labah-labah yang tidak puas dan bersyukur dengan dirinya yang dilahirkan sebagai labah-labah. Tajuknya ialah “Lulu Si Labah-labah”. Apa yang membuatku rasa seronok kemudiannya ialah apabila mendapat tahu bahawa cerita tersebut telah dipilih untuk dijadikan e-buku oleh pihak NIE. Walaupun cerita asal dan ilustrasi buku itu telah diubahsuai (kini bertajuk “Anbut Si Labah-labah), namun aku rasa seperti satu kepuasan dan keseronokan apabila melihat namaku terpampang dalam e-buku yang dihasilkan. Walaupun usaha ini tidaklah sehebat penulis-penulis yang terkenal, namun ini mungkin akan aku jadikan titik permulaan untuk menghasilkan cerita kanak-kanak. Apakan daya, sehingga kini impian itu belum tercapai kerana masa tidak mengizinkan…. masakan tidak, sebelum ini aku terpaksa membahagikan masa dengan kerja-kerja di sekolah yang tak habis-habis serta menguruskan 3 bujangku di rumah. Mungkin, sewaktu cuti penggal yang panjang selepas Semester 2 nanti dapat aku usahakan impian ini ….. Insyaallah!
Aku percaya kehadiran penerbitan karya dalam bentuk maya atau siber ini akan memberangsangkan lagi minat membaca generasi masa kini.

Sunday, September 28, 2008

Puisi "Keberanian Itu, Wanita"

KEBERANIAN ITU, WANITA

Keberanian bukan hanya pada pahlawan..

bukan hanya para srikandi..

Keberanian bukan terletak pada banyaknya musuh

dapat dibunuh..

Atau berani bertarung siapa jaguh..

Keberanian bagiku berakar sendi

Dalam pembuluh darah dala urat dalam diri

Keberanian bagiku berani menghadapi apa yang

mendatang

Keberanian bagiku adalah ketabahan menantang

Keberanian bagiku bukan untuk minta dijulang

Diagung dijunjung dibelek dikelek

Keberanian bagiku adalah wanita

Wanita bagiku adalah keberanian

Dan keberanian itu perlu benar benar berani

kerana keberanian yang berani itu hak dan maruah

Dan wanita dan maruah itu berhak mempunyai

keberanian..

Mis3


Membaca dan meneliti puisi-puisi dalam buku “Antologi Puisi Mis3 Rasa”, karya Noor Hasnah Adam, seorang penulis wanita, pelukis karikatur dan guru yang cergas dan gigih, menguja seseorang membuat kesimpulan tentang pandangan, sikap dan perjuangan Noor Hasnah Adam agar kaum wanita tidak lemah, tidak diperlekeh dengan sewenang-wenangnya tanpa bertindak mempertahankan maruah dan harga diri wanita.

Tajuk puisi itu telah menarik perhatianku untuk terus membaca dan memahami makna di sebalik puisi tersebut. Sebagai seorang wanita, aku setuju dengan pandangannya bahawa kaum wanita harus melihat diri mereka sendiri menjadi makhluk yang berani, tidak mudah tunduk kepada cabaran yang menggugat kedudukannya dalam masyarakat. Perjuangan dan sikap Noor Hasnah Adam yang dipaparkan dalam puisi ini bukanlah bererti bahawa beliau anti lelaki atau tidak menghargai dan menghormati kaum lelaki, tetapi bagi aku mungkin beliau sekadar ingin memberi kesedaran kepada kaum wanita agar tidak menjadi makhluk yang lemah, berani menghadapi terjangan gelombang kehidupan tanpa terlalu bersandar sepenuhnya kepada kaum lelaki. Kaum wanita juga perlu berupaya berdikari dan mandiri dalam kehidupan yang penuh cabaran dewasa ini.