Friday, August 29, 2008

Pramoedya.... Dalam Ingatan

Semenjak meninggalkan bangku sekolah dan selepas tamat pengajianku di NIE pada tahun 1992 ketika mengambil Diploma dalam Pendidikan, aku langsung tidak mengambil berat tentang sastera. Sejurus sahaja aku mula mengajar di sekolah rendah, aku telah menumpukan banyak perhatian dalam kerjayaku dan tidak menghiraukan langsung tentang pengajian sastera.

Kini, apabila aku berpeluang melanjutkan pelajaran, aku seolah-olah mendapat satu kejutan apabila didedahkan semula dengan subjek-subjek akademik yang telah lama aku ketepikan terutama sekali sastera. Minggu kedua di NIE, kami menghadiri suatu diskusi buku mengenai buku “Pramoedya Postcolonially” karya Dr Razif Bahari yang merupakan pensyarahku. Alahai, pening juga kepalaku dibuatnya kerana walaupun aku pernah mendengar nama Pramoedya serta membaca sebuah hasil tulisannya, namun semasa aku duduk di dalam Bilik Jurnal, aku cuba untuk mengingat semula siapa sebenarnya gerangan Pramoedya.

Siapakah Pramoedya? Nama penuhnya Pramoedya Ananta Toer merupakan seorang pengarang yang produktif dalam sejarah sastera Indonesia yang telah menghasilkan lebih dari 50 karya dan diterjemahkan ke dalam lebih dari 41 bahasa asing. Wow hebat sungguh! Beliau dilahirkan di Blora, Pulau Jawa, pada 1925 sebagai anak sulung dalam keluarganya. Ayahnya ialah seorang guru manakala ibunya pula seorang pedagang nasi. Pada mulanya beliau bekerja di Sekolah Kejuruan Radio di Surabaya sebagai seorang jurutaip untuk suratkhabar Jepun di Jakarta semasa pemeritahan Jepun di Indonesia.

Apakah yang menyebabkan beliau berjuang selepas zaman penjajahan Jepun? Beliau pernah ditahan selama 3 tahun pada masa penjajahan dan 1 tahun pada masa Orde Lama dan semasa Orde Baru pula beliau ditahan sebagai tahanan politik selama 14 tahun tanpa proses pengadilan.

Beginilah keadaan Pramoedya bersama rakan-rakannya semasa melakukan kerja paksa di Pulau Buru.
(Sungguh menyeksakan!)

Walaupun beliau dilarang menulis semasa penahanannya di
Pulau Buru, namun beliau tetap berusaha untuk menulis karya terkenalnya yang berjudul Bumi Manusia, novel semi-fiksi sejarah Indonesia. Tokoh utamanya, Minke, seorang bangsawan kecil Jawa, dicerminkan melalui pengalaman RM Tirto Adisuryo, seorang tokoh pergerakan pada zaman kolonial yang menubuhkan Syarikat Priyayi dan diakui oleh Pramoedya sebagai pertubuhan kebangsaan pertama. Jilid pertamanya diceritakan secara lisan kepada kawan sepenjaranya, dan bakinya diseludup ke luar negara untuk dibukukan oleh seorang pengarang Australia dan kemudian diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Indonesia.
Pramoedya dibebaskan dari tahanan pada 21 Disember 1979 dan mendapat surat pembebasan secara hukum tidak bersalah dan tidak terlibat dalam G30S, tapi masih dikenakan tahanan rumah di Jakarta hingga 1992, serta tahanan bandar dan negara hingga 1999. Selain itu beliau dikenakan melaporkan diri seminggu sekali ke Kodim Jakarta Timur selama lebih kurang 2 tahun.
Dalam masa itu beliau menulis Gadis Pantai, novel semi-fiksi lainnya berdasarkan pengalaman neneknya sendiri. Beliau juga menghasilkan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu (1995), autobiografi yang ditulisnya untuk anak perempuannya tetapi tidak dibenarkan untuk dikirimkan dan Arus Balik (1995).
Pramoedya telah menulis banyak kolum dan rencana pendek yang mengkritik pemerintahan Indonesia terkini. Beliau menulis buku Perawan Remaja dalam Cengkraman Militer, sebuah dokumentari yang ditulis dalam gaya menyedihkan yang mengisahkan para wanita Jawa yang dipaksa melayani nafsu seks tentera-tentera semasa penjajahan Jepun.

Beliau tetap aktif menulis, walaupun kesihatannya terganggu akibat usianya yang lanjut dan kuat merokok. Pada awal 1996, beliau dirawat di hospital kerana menghidap diabetes, sesak nafas dan lemah jantung. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 30 April 2006, jam 8.55 pagi semasa usianya 81 tahun.

Beginilah kehebatan seorang pejuang yang menghasilkan karya-karya yang memaparkan sejarah menerusi percakapan dan perlakuan watak-wataknya. Terdapat karya-karyanya yang telah diharamkan serta nota-nota dan rangka-rangka novelnya yang dihapuskan sama sekali. Sebahagian besar pendengarannya telah hilang akibat dipukul bantai oleh tentera-tentera Jepun. Beliau juga telah dipisahkan dan tidak dibenarkan berhubung, walaupun menerusi surat, dengan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil semasa dipenjara bertahun-tahun lamanya di Butu. Tidak dapat dinafikan bahawa beliau ingin menolong pembaca karya-karyanya memikirkan dan mempelajari semula bagaimana kita hidup di dunia yang serba moden ini serta mengubah cara pemikiran kita tentang bagaimana kita menghubungkaitkan diri kita dengan masa lampau.


Friday, August 22, 2008

Kenangan Hari Pertama ...

Tatkala aku menerima sekeping sampul surat putih berukuran 4R, hatiku berlonjak-lonjak keriangan. Ternyata impianku selama ini untuk melanjutkan pelajaranku ke NIE dalam jurusan pengajian Bahasa Melayu dan Sastera peringkat Sarjana Muda hampir tercapai. Sudah lama aku nanti-nantikan saat ini... akhirnya ia bakal aku layari jua.

Hari pertama aku menghadiri kuliah yang bermula pada jam 8.30 pagi amat aku nant-nantikan. Maklumlah sudah 16 tahun aku tinggalkan bangku sekolah, waktu itu di kampus NIE, Bukit Timah. Walau bagaimanapun, aku masih teringat tugas-tugas yang aku tinggalkan di sekolah. Masih ada lagi satu projek yang belum aku lunaskan iaitu pembentangan di Mesyuarat Badan Kelompok (Cluster Board Meeting) yang dihadiri oleh superintendent, pengetua dan naib pengetua mengenai lawatan guru-guru kelompok W2 ke Brunei Darussalam semasa bulan Jun lepas. Stres juga aku dibuatnya tapi apakan daya sudah jadi tanggungjawabku untuk menutup bab buku yang telah aku pelopori semenjak awal tahun ini.

Berbalik pada hari pertama aku di kelas Dr Razif, kami diperkenalkan dengan topik kematian. Bukan itu saja, kami disuruh pula menyiapkan eulogi tentang diri masing-masing. Hai.... bab ini yang selalu buat aku menitiskan airmata seperti Neng Yatimah, seorang pelakon veteran yang terkenal dengan watak-wataknya yang cengeng. Manakan tidak, insan yang paling dekat dengan jiwanya, ibuku, telah kembali ke Rahmatullah enam tahun yang lalu. Pada tahun ini pula, nenekku yang menjagaku semasa aku kecil juga telah meninggalkanku buat selama-lamanya. Hari itu merupakan hari yang bersejarah kerana ia jatuh pada hari lahir anak ketigaku yang baru berumur dua tahun. Sejurus selepas pengkebumian jenazah nenekku, aku terpaksa bergegas ke MOE untuk ditemuduga bagi mendapatkan Anugerah Bahasa Ibunda (Mother Tongue Language Award). Alhamdulillah... berkat dugaan yang aku tempuhi, aku berjaya mendapat anugerah itu. Ini bagaikan suatu bonus bagiku kerana soal kewangan bagi pengajianku diongkos semuanya oleh pihak MOE. Alhamdulillah sekali lagi.

Semasa mencari idea untuk melakarkan eulogi mengenai diriku sendiri, aku mendapat idea. Aku membayangkan anak sulungku yang akan membaca eulogi tersebut pada hari kematianku nanti. Oh tidak..... Dr Razif memanggil namaku untuk membaca eulogi tersebut. Sejurus saja aku membacanya, air mataku mula berlinang. Entah kenapa aku tidak dapat menahannya. Aku tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya diri ini ditakdirkan menyahut seruan Illahi pergi buat selama-lamanya. Baru beberapa hari yang lalu, aku dan seorang guru di sekolahku berbual-bual tentang topik kematian ini. Kami menanyakan diri masing-masing bagaimana agaknya kehidupan seharian suami dan anak-anak kami nanti sekiranya kami ditakdirkan pergi dahulu. Aku dan kawanku tidak ada pembantu rumah untuk menolong menguruskan hal-hal di rumah seperti mana kebanyakan guru-guru seperjuangan kami di sekolah yang memerlukan khidmat pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah dan penjagaan anak-anak mereka. Aku dan kawanku terpaksalah meluangkan masa untuk melakukan kerja-kerja rumah walaupun dibantu suami. Apa yang menyedihkan ketika itu ialah kawanku disyaki mengalami ketumbuhan di rahimnya dan itulah yang sering membuatnya tertanya-tanya apa yang akan berlaku sekiranya dia pergi.

Selepas membacakan eulogi tersebut di depan rakan-rakan sekelasku, aku bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah selama ini. Bukanlah aku tidak pernah bersyukur sebelum ini. Namun, oleh kerana tumpuan aku berbeza kini, selain dari menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak yang semakin membesar, aku harus bijak membahagi-bahagikan masa dengan bijak demi untuk menggenggam segulung ijazah. Moga berkat doa orang-orang yang ku sayangi, insyaallah impianku terlaksana jua.